Halaman

22 Disember 2013

Penciptaan Adam a.s. - Siri 2


...sambungan dari Siri 1.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi.” Allah S.W.T. mengkhabarkan bahawa Dia berbicara kepada malaikat dalam persoalan itu.

Kami dapat menyimpulkan bahawa yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. adalah menciptakan Adam dan keturunannya. Di mana antara sesama mereka saling melantik khalifah (pemimpin). Sebagaimana difirmankan Allah S.W.T. dalam ayat, yang bermaksud:

“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi.” – Surah al-An’am: 165

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Dan yang menjadikan kamu sebagai khalifah di muka bumi.” – Surah al-Naml: 62


Berita itu bermaksud sebagai keterangan atas penciptaan Adam a.s. dan anak keturunannya, sebagaimana Allah S.W.T. mengkhabarkan tentang persoalan besar sebelum penciptaan Adam.

Walaupun terdapat tanggapan para malaikat yang mempersoalkan penciptaan itu, dapat dilihat dari segi permohonan untuk menyingkap hikmah yang tersembunyi dan permohonan untuk memperoleh pengetahuan tentang masalah ini.

Jadi, sama sekali bukan suatu ungkapan menolak kehadiran Bani Adam dan sikap dengki (malaikat) kepada mereka, sebagaimana tuduhan yang dilontarkan oleh sebahagian mufassirin yang kurang memahami maksud ayat ini. Tuduhan itu berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Malaikat berkata: Apakah Engkau hendak menciptakan di dalamnya (bumi) orang-orang yang hendak membuat kerosakan dan menumpahkan darah?” – Surah al-Baqarah: 30

Qatadah mengatakan bahawa para malaikat mengetahui  bahawa penciptaan khalifah itu adalah sama seperti masyarakat bani jin sebagaimana yang pernah mereka lihat sebelum Adam.

Abdullah bin Umar mengatakan bahawa kehadiran masyarakat bani jin itu jaraknya seribu tahun sebelum penciptaan Adam. Di dalam dunianya, mereka gemar menumpahkan darah dan saling membunuh. Lalu Allah S.W.T. mengirim sepasukan malaikat yang ditugaskan untuk menghukum mereka, dan kemudiannya dibuang ke suatu tempat.

Menurut al-Hasan bahawa mereka (para malaikat) diberi ilham mengenai penciptaan itu. Ada juga yang berpendapat bahawa malaikat mengatakan begitu seletah melihat Loh al-Mahfuz.

Pendapat lain mengatakan bahawa Harut dan Marut ditunjukkan catatan itu oleh malaikat yang darjatnya lebih tinggi.

Catatan itu disebut  sebagai al-Sijjil. Keterangan ini diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dari Abu Ja’far al-Baqir.

“Padahal kami selalu bertasbih seraya memuji-Mu dan mensucikan-Mu.”

Maksudnya: “Kami  (malaikat) sentiasa (berterusan) menyembah-Mu (Allah), tanpa sesiapa pun dari kami yang membuat maksiat kepada-Mu. Jika maksud penciptaan mereka (manusia) agar menyembah-Mu justeru itu, tentulah kami yang lebih tepat. Kami tidak pernah letih menyembah-Mu, siang dan malam.”

Allah S.W.T. menjawab bermaksud: “Aku lebih mengetahui apa saja perkara yang tidak kamu ketahui.”

Maksudnya Allah S.W.T mengetahui adanya maslahat atau kebaikan secara jelas atas penciptaan manusia. Ini termasuk salah satu persoalan yang tidak diketahui oleh para malaikat. Sesungguhnya di antara manusia itu kelak, akan ada yang dilantik sebagai nabi, rasul, siddiqun, syuhada’ dan menjadi orang-orang yang soleh.

...bersambung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan